KUMPULAN NASYID RABBANI
TAJUK LAGU : INTIFADA
Merdu lafaz syahdu
Jiwa pun merindu
Merakam rasa kalbu
Gemersiknya lagu
Angin kota cahaya
Bertiup berarak
Kencang meredah maya
Hanya untuk dia
Bangkit segar seirama
Meluruskan rentak safnya
Riuh-rendah basah lidah
Kalam wahyu mewangi di taman
Oh… semerbak harum bingkisan an-nur
Berterbangan tinggi ke intifada
Oh merentas misi risalah suci
Mewangikan taman yang dicemari
Gema siang malam
Alunan suara
Burung turut menyanyi
Zikir tidak henti
Lunak diukir seni
Halus menghiasi
Persada alam ini
Hidup tidak mati
Masihkah punya bicara
Menjalinkan yang terpisah
Semarak terus berusaha
Pastinya ia akan berjaya
PENDAHULUAN:
Lagu Intifada ini telah dicipta dalam tahun 2000. Ianya telah dicipta oleh Edry Abdul Halim dari kumpulan KRU untuk kumpulan Rabbani. Kumpulan nasyid Rabbani adalah merupakan kumpulan nasyid yang cukup popular di tanah air. Kumpulan ini telah memenangi anugerah Kumpulan Nasyid Terbaik selama 8 tahun berturut-turut dalam acara Anugerah Bintang Popular Berita Harian.
Kumpulan Rabbani dianggotai oleh 8 orang kesemuanya iaitu Ustaz Asri Ubaidullah selaku vokalis, Aizudin Abdul Aziz, Muhammad Luqman Abdul Aziz, Muhammad Rithaudeen Yaakob, Mohamad Afendi Shahbudin, Ahmad Shafie, Nazrul Azhar Tamrin dan Zulkiflee Azman.
Vokalis utamanya iaitu Ustaz Asri telah meninggal dunia pada 13 Ogos 2009 dalam perjalanan ke Pusat Perubatan Pantai, Bangsar. Beliau telah jatuh pengsan ketika sesi latihan Program Syahadah di Angkasapuri. Beliau telah dilahirkan pada 3 Ogos 1969. dalam usia 40 tahun. Beliau meninggalkan seorang balu, Nurul Jannah Syahadah, 39 tahun dan 6 orang anak-anak. Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Lanchong, Seksyen 28, Shah Alam.
Kumpulan Rabbani telah ditubuhkan pada 1 Mac 1997 dan telah menghasilkan 19 album. Kumpulan ini mempunyai konsep tersendiri dalam memperjuangkan lagu-lagu nasyid tanah air.
ULASAN :
Lagu ini merupakan nasyid moden yang dicipta mengikut citarasa yang sesuai dengan era terkini. Motif lagu nasyid dicipta adalah sebagai panduan, dakwah dan nasihat.
Ini dapat diteliti dari liriknya :
burung turut bernyanyi,
zikir tidak henti
Bangkit segar seirama
Meluruskan rentak safnya
Riuh-rendah basah lidah
Kalam wahyu mewangi di taman
Oh… semerbak harum bingkisan an-nur
Berterbangan tinggi ke intifada
Perkataan-perkataan seperti ‘zikir, ‘saf,’ ‘kalam wahyu’ dan ‘an-nur’ adalah berunsurkan Islam yang menunjukkan lagu ini masih mengekalkan unsur-unsur dakwah yang diperlukan dalam sesebuah lagu nasyid. Walaupun lagu nasyid ini berbentuk ‘dance music” tetapi ciri-ciri nasyid masih dikekalkan melalui perkataan-perkataan yang diselitkan dalam senikata lagu ini.
Intifada ini bermaksud kebangkitan. Lagu ini bercerita tentang kebangkitan rakyat Palestin menentang Rejim Israil. Kebangkitan ini dipelopori oleh Sheikh Ahmad Yassin yang merupakan seorang tokoh rakyat Palestin dan ahli Pergerakan Ikhwanul Muslimin. Beliau adalah seorang yang lumpuh dan kabur penglihatan tetapi suara, minda dan jiwanya tajam. Melalui ceramahnya, beliau telah menggegarkan jiwa dan semangat rakyat Palestin untuk bangkit menentang rejim Zionis. Beliau meninggal dunia ketika pulang dari solat Subuh akibat dibedil oleh peluru berpandu Apache Zionis.
Irama lagu ini adalah rancak, begitu sedap didengar, seni katanya adalah mengasyikkan dan merupakan satu pembaharuan dalam irama nasyid. Lagu ini merupakan gelombang baru dalam industri hiburan. Namun, ada sesetengah pihak mengatakan lagu ini telah ‘tersasar’ dari irama nasyid. Ianya dikatakan telah meminggirkan objektif utama lagu-lagu nasyid. Tetapi sebagai salah seorang pencinta lagu-lagu nasyid, saya mempunyai alasan tersendiri untuk tidak menyokong pendapat-pendapat ini.
Pada pendapat saya, irama nasyid perlu di lakukan pembaharuan dari masa ke semasa supaya tidak ditenggelamkan oleh genre-genre lagu-lagu moden yang dari hari ke hari mengalami perubahan. Ini adalah kerana anak-anak muda sekarang lebih sukakan lagu-lagu yang rancak. Bila diminta oleh ibubapa supaya menyanyikan lagu nasyid, mereka akan menjawab “buat apa nyanyi lagu nasyid, lagu mendayu-dayu, sedih. kita nak nyanyi lagu nak hiburkan orang, bukan nak menhadiri ceramah keagamaan”. Oleh yang demikian, langkah yang diambil oleh kumpulan Rabbani meminta Edry Abdul Halim mencipta lagu Intifada yang berkonsep nasyid moden ini adalah wajar untuk menyelamatkan lagu-lagu nasyid supaya tidak terus tenggelam.
Demikian, irama nasyid akan berterusan jika diselitkan pembaharuan serta menarik minat generasi muda terhadap nasyid. Ini bersesuaian untuk diterapkan dalam kehidupan mereka dalam meniti arus kemodenan yang memberi kesan kepada ibu bapa dalam mendidik mereka. Oleh itu, usaha-usaha kumpulan nasyid melalui mesej dakwah khususnya bertepatan dan amat perlu dalam memimpin mereka ke jalan yang benar. Peranan ibubapa terhad dalam menangani masalah sosial malah amat memerlukan kerjasama semua pihak.
KESIMPULAN
Lirik-lirik yang terdapat dalam lagu-lagu nasyid adalah berbentuk panduan dan nasihat supaya dapat menginsafkan anak-anak muda masa kini. Oleh itu, lagu-lagu nasyid perlu diterapkan konsep moden agar seiring dengan genre-genre muzik yang lain. Dengan cara mengangkat lagu-lagu nasyid berdiri sama tinggi dengan muzik tempatan masa kini akan dapat mengekalkan identiti negara kita sebagai salah sebuah negara Islam.
0 comments:
Post a Comment