CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Friday, 17 June 2011

BERCERITA

Cerita 1 : Kisah Nabi Ibrahim dan Raja Namrud


Assalamualaikum.

Yang mulia Tuan Pengerusi Majlis, barisan hakim yang arif, guru-guru dan rakan-rakan sekalian.

Nabi Ibrahim dan Raja Namrud’. Demikianlah tajuk kisah al-Quran yang akan saya paparkan.

Kawan-kawan sekalian,

Ibrahim bin Azar adalah anak kelahiran di zaman pemerintahan Raja Namrud bin Kan’an di Babylon, Iraq. Raja Namrud dan rakyatnya bukan sahaja tidak beriman kepada Allah, malah menganggap dirinya tuhan dan memaksa pengikutnya sujud kepada baginda.

Pada suatu malam, baginda bermimpi kononnya sebuah bintang muncul di langit menutupi cahaya bulan dan matahari. Mimpi baginda ditafsir oleh seorang tukang tilik. Katanya, seorang kanak-kanak lelaki akan lahir di negeri ini. Dia beriman kepada tuhan dan musuh kepada tuhan yang kita sembah.

PANTUN : Namrud bimbang bukan kepalang

Titah baginda disebar segera

Jauhi isteri yang kamu sayang

Mereka yang hamil biarkan di rumah sahaja

Manakala anak lelaki mesti dibunuh! Sungguh kejam!. Bakal ibu menderita ketakutan kecuali isteri Azar. Beliau menyembunyikan kandungannya lalu menuju ke sebuah gua. Tidak berapa lama kemudian, lahirlah Nabi Ibrahim di gua itu. Setelah dewasa, ibunya menceritakan segala peristiwa lalu meninggalkan baginda sendirian.

Firman Allah dalam Surah Al-Anbiya’ ayat 51,

Maksudnya: “Dan sesungguhnya kami telah menganugerahkan Nabi Ibrahim hidayah kebenaran sebelum Musa dan Harun dan kami mengetahuinya”.

Ayat ini bermaksud Allah mengetahui tentang kemuliaan akhlak Nabi Ibrahim. Lantaran itu, baginda telah dipilih menjadi Rasul.

Ya kawan-kawan, akhlak terpuji penyeri diri. Justeru, amalkanlah akhlak yang mulia di mana sahaja. Semoga slogan yang dilaungkan pihak kerajaan ‘Akhlak Mulia Negara Sejahtera’ dapat direalisasikan.

Sidang hadirin sekalian,

SYAIR : Pulang Ibrahim ke pangkuan keluarga

Disambut oleh ayah dan bonda

Namun baginda cukup kecewa

Lantaran mereka masih menyembah berhala

“Wahai ayahku, sesungguhnya aku takut ayah akan ditimpa azab daripada Allah”, kata Ibrahim dengan lembut.

Firman Allah dalam surah al-Anbiya’ ayat 52,

Maksudnya : “Dan demi ketika ia berkata kepada bapa dan kaumnya. Apakah hakikat patung-patung itu sehingga kamu bersungguh-sungguh memujanya”.

Demikianlah usaha seorang anak demi melihat kebahagiaan ayah tercinta. Biarpun Azar terlalu marah dengan pujukan baginda sehingga mengancam akan membunuh baginda. Namun, dengan lembut Nabi Ibrahim tetap berusaha, malah berdoa untuk kesejahteraan ayahnya.

Inilah pengajaran yang baik buat kita. Anak-anak hendaklah berusaha menjaga dan memberi kasih sayang kepada kedua ibu bapa. Janganlah diikuti budaya meninggalkan mereka di rumah kebajikan sepertimana yang berlaku akhir-akhir ini.

Kawan-kawan sekalian,

Pada suatu hari, Nabi Ibrahim telah ke rumah berhala dengan membawa sebilah kapak. Ketika itu, pengikut-pengikut Namrud menghadiri satu pesta.

Firman Allah dalam surah al-Anbiya’ ayat 68

Bermaksud : “Maka Ibrahim memotong berhala-berhala itu sehingga hancur kecuali yang paling besar agar mereka kembali bertanya kepadanya”.

Kejadian itu menggemparkan orang ramai. Nabi Ibrahim telah ditangkap.

Apakah engkau yang telah menghancurkan tuhan-tuhan kami?’, Tanya Namrud dengan marah.

Nabi Ibrahim tersenyum lalu berkata, “ Dialah Tuhan yang paling besar. Tidakkah kamu nampak kapak terletak di bahunya? Tanyalah kepadanya. Sekiranya dia tidak boleh menjawab, tanyalah kepada tuhan-tuhan kamu yang bertaburan itu. Meraka pasti akan menjawab pertanyaan kamu.”

Sinis sekali sindiran Nabi Ibrahim. Inilah gambaran betapa beraninya baginda.

Ya kawan-kawan,

Islam memang menuntut keberanian. Keberanian ini harus ada dalam diri setiap muslim sejajar dengan konsep Islam Hadhari yang dicadangkan pihak kerajaan dan wajar dihayati demi menegakkan kebenaran.

Kawan-kawan sekalian,

Raja Namrud begitu marah. Baginda memerintahkan agar Nabi Ibrahim dibunuh dengan dibakar hidup-hidup.

Tiba waktunya……

PANTUN/SAJAK : Unggun api marak menjulang

Diangkat baginda terus dihumban

Tidak gentar tidak bimbang

Kepada Allah baginda serahkan

Lalu Allah menyeru kepada api sepertimana ayat 16 Surah Al-Anbiya’

Maksudnya : “Wahai api, dinginlah engkau dan selamatkanlah Ibrahim”.

Tiba-tiba…..

PANTUN/SAJAK : Padam terus api menggila

Cuma bara jelas kelihatan

Lantas terpandang senyuman baginda

Menadah doa memanjat kesyukuran

Inilah salah satu mukjizat yang Allah berikan kepada Nabi Ibrahim. Kita sebagai manusia wajib beriman dengan kekuasaan Allah. Kejadian tsunami di Kuala Kedah atau banjir besar yang berlaku di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan baru-baru ini membuktikan segala-galanya.

Ya kawan-kawan,

Keadaan Nabi Ibrahim yang tidak hangus atau cedera terbakar oleh api yang begitu besar menyebabkan Namrud dan kaumnya terpaku kehairanan. Pun begitu, mereka masih sombong dan enggan beriman.

Akhirnya, Nabi Ibrahim berdoa agar Namrud mendapat pembalasan. Doa baginda dimakbulkan tuhan. Namrud dan pengikutnya mati bergelimpangan hanya kerana gigitan nyamuk. Inilah bukti bahawa Allah cukup benci kepada orang-orang yang sombong.

Bacalah olehmu kisah dari Al-Quran

Hayati pengajaran

Amalkan ajaran jauhi larangan

Moga mendapat pengajaran berguna

Sekian, Terima Kasih


0 comments: