CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Saturday, 15 May 2010

JAGA 7 SUNNAH RASULULLAH SAW

'CERDASNYA' orang yang beriman adalah dia yang mampu mengolah hidupnya yang sesaat, yang sekejap untuk hidup yang panjang. Hidup bukan untuk hidup, tetapi hidup untuk YANG MAHA HIDUP. Hidup bukan untuk mati, tapi mati itulah untuk hidup.

Kita jangan takut mati, jangan mencari mati, jangan lupakan mati, tetapi perlu rindukan mati. Ini kerana, mati adalah pintu berjumpa dengan Allah swt. Mati bukanlah cerita adalah akhir hidup, tetapi mati adalah awal cerita sebenarnya. Oleh itu, sambutlah kematian dengan penuh ketakwaan.

Hendaklah kita selalu menjaga tujuh sunnah Nabi setiap hari. Ketujuh sunnah Nabi SAW itu adalah :-

PERTAMA : Tahajud kerana kemuliaan seorang mukmin terletak pada tahajudnya.

KEDUA : Membaca al-Quran sebelum terbit matahari. Alangkah baiknya sebelum mata melihat dunia, sebaiknya mata membaca al-Quran terlebih dahulu dengan penuh pemahaman.

KETIGA : Jangan tinggalkan masjid terutama di waktu Subuh. Sebelum melangkah ke manapun langkahlah kaki ke masjid kerana masjid merupakan pusat keberkahan, bukan kerana panggilan muazin tetapi panggilan Allah yang mencari orang beriman untuk memakmurkan masjid Allah.

KEEMPAT : Jaga Solat Dhuha kerana kunci rezeki terletak pada Solat Dhuha.

KELIMA : Jaga sedekah setiap hari. Allah menyukai orang yang suka bersedekah dan Malaikat Allah selalu mendoakan kepada orang yang bersedekah setiap hari.

KEENAM : Jaga wudhu terus menerus kerana Allah menyayangi hamba yang berwudhu. Kata Khalifah Ali bin Abu Thalib "Orang yang selalu berwudhu senantiasa ia akan merasa selalu solat waktu ia sedang tidak solat, dan dijaga oleh Malaikat dengan dua doa, ampuni dosa dan sayangi dia Ya Allah".

KETUJUH : Amalkan istighfar setiap saat. Dengan istighfar masalah yang terjadi kerana dosa kita akan dijauhkan oleh Allah.

Zikir adalah bukti syukur kita kepada Allah. Bila kita kurang bersyukur, maka kita kurang berzikir pula. Oleh kerana itu, setiap waktu harus selalu ada penghayatan dalam melaksanakan ibadah ritual dan ibadah ajaran Islam lainnya. Zikir juga merupakan makanan rohani yang paling bergizi. Dan dengan zikir pelbagai kejahatan dapat ditangkal sehingga jauhilah umat manusia dari sifat-sifat yang berpangkal pada materialisme dan hedonisme.

SUMBER : www.iluvislam.com

SIFAT-SIFAT PENDAKWAH

Dakwah Islamiah pada mulanya adalah merupakan tugas para Rasul yang kemudiannya dilaksanakan oleh Alim Ulama'. Oleh yang demikian, bolehlah dikatakan bahawa kebahagiaan setiap umat sedikit sebanyak bergantung pada Alim Ulama'. Apabila mereka baik, maka baiklah manusia dan apabila mereka rosak nescaya rosaklah manusia. Ini bererti tanggungjawab Alim Ulama' amatlah besar, dan tugas mereka itu amatlah berat, lebih-lebih lagi kalau mereka menjadikan dakwah (tabligh) sebagai tugas khusus mereka. Pendakwah mesti ada mempunyai sifat-sifat di antara lain seperti berikut :

1. Memahami maksud Al-Quran dan Al-Hadis.

2. Beramal dengan ilmunya.

3. Tahan marah (berlapang dada)

4. Berani, tidak takut kepada sesiapapun dalam menerangkan kebenaran. Celaan manusia tidak akan menghalangnya daripada menjalankan kewajipan.

5. Menjaga diri, tidak mahu kepada harta kepunyaan orang.

6. Berpada-pada dengan kesenangan dunia dan redha dengan harta yang halal walaupun sedikit.

7. Kuat, sihat dan fasih lidah.

8. Mengetahui perkara-perkara di bawah ini :

(a) Hal ehwal orang yang akan menerima dakwah iaitu tentang kesediaannya untuk menerima dakwah, persekitaran dan sosialnya.

(b) ilmu sejarah umum.

(C) Ilmu Psikologi.

(d) Ilmu Geografi.

(e) Ilmu Akhlak

(f) Mazhab-mazhab, aqidah yang betul dan mazhab-mazhab yang salah.

(g) Bahasa orang yang menerima dakwah.

(h) Ilmu kemasyarakatan (sosiologi) yang membincangkan perkembangan masyarakat manusia dan segala yang berkaitan dengannya.

9. Amat mempercayai kepada janji-janji Allah dan mempunyai harapan penuh untuk mendapat kejayaan biar pun usaha dakwah itu memerlukan usia yang lama dan memerlukan pengorbanan yang besar.

10.Tawadu' (merendah diri) dan menjauhkan diri daripada perkara
yang aib.

11.Tidak bakhil mengajarkan apa-apa ilmu yang diketahuinya. Tidak keberatan untuk melakukan sesuatu yang mendatangkan faedah kepada orang lain.

12. Bersifat wakar dan tenang.

13.Tinggi hemat dan mulia diri. Tidak berpuashati dengan perkara-perkara besar yang belum sampai kepada kesempurnaannya dan menjauhkan diri daripada perkara-perkara hina dan marah ketika disedari dirinya serba kekurangan pengetahuan atau bukti.

14. Sabar ketika menjalankan dakwah kerana Allah.

15. Bersikap Taqwa dan Amanah.

BERSIFAT WAKAR DAN AMANAH

Sifat wakar ada pada ;

(a) Orang yang tidak bercakap sesuatu yang sia-sia, sekiranya perlu bercakap dia akan hanya bercakap sekadar yang perlu sahaja.

(b) Orang yang menggunakan gerak-geri bagi menyatakan sesuatu maksud.

(c) Orang yang sedia mendengar segala pertanyaan dan berhati-hati ketika menjawab.

(d) Orang yang tidak gopoh dalam segala perkara.


Di samping itu sifat wakar ini juga dapat menggambarkan ciri-ciri ;

(a) Memelihara diri daripada senda-gurau yang tidak sopan.

(b) Tidak bergaul dengan orang yang suka bergurau dan menghindari majlis mereka.

(c) Menahan lidah daripada menyebut perkataan yang buruk.

(d) Tidak menunjuk-nunjuk diri tanpa sebab yang munasabah seperti duduk di jalan atau di pasar.

Sifat-sifat yang ditonjolkan begini menarik minat orang ramai kerana keperibadian dan akhlak serta kemuliaannya.

Sumber artikel : JAIS

Kisah Orang Kaya dan Seorang Sufi

Pada suatu hari, seorang lelaki kaya telah bertemu dengan seorang Sufi yang berpakaian compang-camping. Dia kelihatan terlalu miskin. Orang kaya berasa kasihan, lalu dia menyedekahkan sejumlah wang kepada Sufi. Setelah mendapat wang itu, Sufi memandang muka orang kaya itu dan bertanya, "Apakah tuan mahukan wang lagi sekiranya tuan berpeluang untuk memilikinya?'. Orang kaya itu menjawab, "Sudah tentu aku mahu". Sufi pun membalas, "Kalau begitu, ambillah semula wang ini kerana tuan sebenarnya lebih miskin daripada saya. Tuan masih perlukan wang, sedangkan saya tidak memerlukannya". kata ahli Sufi itu.

Sunday, 2 May 2010

Jangan Dipandang Remeh Dosa Kecil


Ramai manusia tertipu oleh kata hatinya sendiri selepas diputar belit pengaruh syaitan. Syaitan berbisik ke dalam hati manusia: "Allah Maha Penyayang, rahmat-Nya meliputi segala sesuatu. Selepas kamu melakukan dosa kecil, mengapa Allah tidak juga menurunkan apa-apa bala ataupun azab disebabkan maksiat kamu itu? Bukankah dosa yang kamu lakukan itu ringan saja? Lepas buat bertaubatlah! Habis cerita. Jangan takut, amal baik kamu banyak lagi." Tidaklah semudah itu menanggalkan daki maksiat dalam jiwa raga kita. Jika dikiaskan maksiat seperti kotoran yang melekat pada kain, boleh dihilangkan dengan sekali cucian saja, alangkah mudahnya. Asalkan dicuci dengan taubat maka hilang serta-merta. Sedangkan kain yang selalu diberus untuk menghilang noda tidak akan bertahan lama. Pasti koyak rabak akhirnya. Inikan pula hati manusia. Jangan diremehkan dosa kecil. Semakin kerap ia dilakukan walaupun dengan diiringi taubat, ia akan merosakkan hati dan seterusnya memberi kesan kepada amal perbuatan keseluruhannya.


Apakah kesan daripada melakukan dosa kecil?

Merangsang untuk melakukan dosa besar. Jarang sekali ditemui seseorang yang tiba-tiba membunuh tanpa ada mukadimah pergaduhan atau pertelingkahan. Begitu juga orang yang berzina, pasti ada mukadimah rangsangan yang dilihat oleh matanya, ciuman atau sentuhan dalam pergaulannya.

Ibarat titisan air yang terus menerus boleh melubangi bongkah batu yang keras, maksiat dilakukan terus menerus akan memberi kesan kepada maksiat yang lebih besar lagi. Mata yang memandang gambar keji menjijikkan akan menyuruh kepada anggota badan yang lain untuk berzina. Sehingga Ibnu Abbas berpendapat: "Tidak ada dosa kecil jika terus menerus dilakukan. Kerana ia akan merangsang seseorang melakukan dosa besar." Kadang-kadang perbuatan baik yang dilakukan hamba walaupun kecil dan ringan, bagi Allah ia sungguh bermakna. Demikian juga sebaliknya, dosa yang bagi manusia sedikit tetapi cukup membuat Allah murka hingga hari kiamat. Seperti Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Adakalanya seseorang melepaskan sepatah kata daripada kata-kata yang diredai Allah yang dia tidak menyangka hal itu sedemikian rupa, tiba-tiba dicatat oleh Allah dalam keredaan-Nya sehingga dia berhadapan dengan Allah dalam keadaan diredai. Demikian pula ada kalanya seseorang bercakap sepatah kata daripada kata-kata yang membuat kemurkaan Allah yang dia tidak menyangka akan sedemikian rupa tiba-tiba dicatat oleh Allah dalam kemurkaan-Nya hingga hari kiamat."
(Hadis riwayat Imam Malik dan al-Tirmizi)


Berasa aman daripada azab Allah.

Orang yang sentiasa melakukan dosa kecil beranggapan dia boleh berpegang kepada tali rahmat dan kasih sayang Allah sehingga tidak akan mungkin terjatuh ke dalam jurang kebinasaan. Tetapi sayang, dia sesungguhnya lupa terhadap sifat Allah yang Maha Adil saat membalas setiap kejahatan. Bukankah sudah datang khabar daripada wahyu yang menyatakan perbuatan yang besar atau kecil semuanya tertulis dalam kitab catatan amal manusia? Setiap pandangan yang menyimpan syahwat, kebencian atau kedengkian segalanya dirakam dengan begitu rapi. Perkataan yang mewakili fitnah, ghibah dan kekotoran zina juga tidak luput daripada pemerhatian dua malaikat pencatat amal. Firman Allah yang bermaksud:

"Dan diletakkan kitab catatan, lalu kamu akan melihat orang bersalah ketakutan terhadap apa yang tertulis di dalamnya, dan mereka berkata: "Aduhai celaka kami, kitab apakah ini yang tidak meninggalkan yang kecil dan tidak pula yang besar, melainkan ia mencatat semuanya; dan mereka dapati apa yang telah mereka kerjakan ada tertulis. Dan Tuhanmu tidak menganiaya seorang juga pun."
(Surah al-Kahfi, ayat 49)


Tetapi mengapa manusia masih merasa aman daripada azab dan hukuman Allah? Mungkin kerana azab Allah itu tidak terus diturunkan serta-merta selepas mereka melakukan maksiat. Cuba anda bayangkan selepas melayari laman web lucah seseorang terus dijangkiti penyakit mata merah yang rasanya gatal dan pedih bukan kepalang. Pasti tidak ada seorang manusia pun berani melihat benda keji seperti itu. Ataupun selepas mengumpat, mengeji dan memfitnah orang lain tiba-tiba orang itu terkena kanser di mulutnya. Selepas puas makan harta anak yatim perutnya membuncit. Perkara ini tak pernah berlaku disebabkan kelembutan Allah kepada makhluknya. Namun demikian, masih saja mereka yang bermaksiat itu berdalih: "Mengapa Allah tidak membalas kejahatanku ini? Aku masih hidup dengan limpahan nikmat-Nya, tidak ada musibah dan seksa yang menimpa diriku." Lantas dia menyangka baik apa-apa perbuatan jahat yang dilakukannya. Padahal Allah hanya menangguhkan balasan atas kejahatannya itu untuk menguji sekebal mana imannya melawan libasan pedang maksiat. Al-Quran menggambarkan manusia yang merasa aman daripada perbuatan maksiat dalam firman Allah yang bermaksud:

"Mengapa Allah tidak menyeksa kita disebabkan apa yang kita katakan itu? Cukuplah bagi mereka Jahanam yang akan mereka masuki dan neraka itu adalah seburuk-buruk tempat kembali."
(Surah al-Mujadilah, ayat 8)


Mencemarkan jiwa dan menghilangkan rasa nikmat dalam beribadah.

Dosa kecil yang dilakukan terus menerus walaupun boleh dihapuskan dengan melakukan solat dan berpuasa seperti mana disebut dalam sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sembahyang lima waktu, Jumaat hingga Jumaat dan Ramadan hingga Ramadan menjadi penghapus dosa di antaranya. Jika kamu menjauhkan dosa besar." Akan tetapi kekerapan melakukan dosa bagaimanapun akan membawa pengaruh buruk dalam keseluruhan peribadi seorang Muslim. Setiap perbuatannya yang mewakili kejahatan akan membekas di dalam jiwa. Apabila perbuatan dosa itu semakin sedap dilakukan, maka akan dicabut nikmat dari dalam hati hamba ketika bermunajat kepada Allah. Dan digantikan dengan azab yang tidak nampak. Apakah bentuk azab itu? Tahukah anda azab yang paling menyakitkan berbanding kanser, muflis, dipulaukan kawan, dijarah harta benda, dilucutkan daripada pangkat dan jawatan bahkan diaibkan di dada akhbar? Azab ini begitu berbahaya, mematikan kesucian jiwa hingga meranapkan binaan iman. Azab yang melanda hati. Iaitu apabila hati tidak merasai kemanisan berdekatan dengan Allah, apabila kenikmatan ibadat itu telah dicabut daripada rongga hati. Selagi mana seseorang itu melakukan dosa dia tidak akan merasai nikmatnya beribadah. Apakah ada kekhusyukan ibadat bagi orang yang menyimpan amarah, dengki dan cemburu kepada orang lain? Adakah terasa nikmatnya berpuasa bagi orang yang tak pernah puas melayani hawa nafsunya? Adakah berkesan ibadat zakat dan sedekah bagi mereka yang tamak kepada harta orang lain? Adakah nikmat merasai kelazatan al-Quran bagi orang yang suka membaca aib orang lain dengan begitu teliti. Semua itu adalah akhir daripada rentetan panjang sejarah dosa kecil yang dilakukan, bermula secara senyap, sedikit dan tidak nampak. Akhirnya menjadi kebiasaan, terang-terangan tanpa rasa malu dan takut. Bermula melakukan dosa kecil berakhir dengan kejahatan besar yang menjadi penyesalan buat selama-lamanya.




I luv Islam.com

Hukum Berjabat/Bersalam dan Mencium Tangan


Kita akan membahagikan pembahasan ini kepada beberapa bahagian:
1. Hukum berjabat tangan/bersalam
2. Hukum mencium tangan
3. Hukum membongkokkan badan
4. Hukum bersujud kepada selain Allah
5. Rumusan

1. Hukum Berjabat Tangan/Bersalam
Rasulullah s.a.w. bersabda:
Abu Qatadah berkata, aku bertanya kepada Anas r.a.: "Apakah para sahabat Rasulullah s.a.w. dahulu saling berjabat tangan" Dia menjawab: "Ya." (HR Bukhari)

Dari al-Barraa' bin Azib r.a., katanya telah sabda Rasulullah s.a.w.:
"Tidaklah dua orang Islam bertemu lalu saling bersalaman/berjabat tangan, melainkan diampuni dosa keduanya sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud, al-Tarmizi & Ibnu Majah)

Dari Athaa' bin Abdullah al-Khurasani, katanya Nabi s.a.w. telah bersaba:
"Hendaklah kamu saling berjabat tangan, nescaya hilanglah rasa dengki. Hendaklah kamu saling menmberi hadiah, nescaya kamu saling mencintai dan hilanglah permusuhan." (Hadis Mursal riwayat Imam Malik)

Dari al-Barra"bin al-Azib r.a., katanya, telah bersabda Rasulullah s.a.w.:
"Sesungguhnya jika dua orang Islam bertemu, lalu saling berjabat tangan, saling mengasihi dan saling menasihati, nescaya bertebaranlah dosa-dosa yang ada pada kedua orang itu."? (HR Ibnu Sunni)

Hadis di atas adalah di antara hadis yang menunjukkan bahawa berjabat tangan ketika bertemu adalah sunat hukumnya.

2. Hukum Mencium Tangan
Al-Nawawi mengatakan bahawa dianjurkan agar mencium tangan orang yang kemuliaannya disebabkan oleh perkara yang bersangkut paut dengan agama. Seperti seorang yang zuhud, alim/ulamak, soleh, warak dan sebagainya. Ini termasuklah kedua ibubapa kita yang muslim.

Dimakruhkah mencium tangan seseorang yang dipandang mulia dengan sebab-sebab keduniaan, seperti orang kaya, orang yang berpangkat, berkedudukan tinggi dan sebagainya. Perbuatan ini amat tidak disukai.

Dari Zari' r.a., yang termasuk di dalam rombongan Abdul Qais, dia berkata: "Kamipun berlumba-lumba turun dari kenderaan kami, lalu kami mencium tangan dan kaki Nabi s.a.w."

3. Hukum Membongkokkan Badan
Adalah dimakruhkan membongkokkan badan kerana mahu menghormati seseorang.

Dari Anas r.a., katanya: Seorang lelaki bertanya: Wahai Rasulullah s.a.w., jika seseorang dari kita bertemu saudaranya atau temannya, apakah dia perlu membungkuk kepadanya? Baginda menjawab: "Tidak." Orang itu bertanya: "Apakah dia perlu memeluk dan menciumnya?" Baginda menjawab "Tidak." Orang itu bertanya: "Apakah perlu dia memegang tangannya dan bersalam dengannya?" Baginda menjawa: "Ya." (HR al-Tarmizi)

Hadis di atas bermaksud:
1. Makruh membungkukkan badan kepada seseorang.
2. Makruh memeluk dan mencium seseorang kecuali jika kembali dari permusafiran.
3. Sunat berjabat tangan ketika bertemu.

Kita sering melihat mereka yang berada di atas pentas kerana berucap atau membuat persembahan. Sebelum atau selepas berucap atau membuat persembahan, mereka akan menundukkan badan sebagai tanda hormat kepada para hadirin. Perbuatan ini adalah dimakruhkan.

4. Hukum Bersujud Kepada Selain Allah
Umat Islam dilarang bersujud kepada selain dari Allah, samada ia berbentuk peribadatan atau penghormatan sahaja.

Jika ditanya, bagaimana dengan sujud para malaikat kepada Adam? Bukankah itu sujud dari makhluk kepada makhluk?

Jawab: Sujud yang dilakukan oleh para malaika kepada Adam bukanlah sujud yang berbentuk penyembahan (ibadah), tetapi sebagai penghormatan. Perkara ini disepakati oleh para ahli tafsir.

Lagi pula sujud malaikat kepada Adam adalah atas titah perintah Allah yang wajib dipatuhi.

Sehingga kita sendiripun, jika seandainya Allah memerintahkan kita agar sujud kepada seseorang, kita wajib mematuhinya. Jika perintah sujud itu diperintahkan oleh selain Allah, maka haram melakukan.

Sabda Rasulullah s.a.w.:
"Seandainya aku diperintahkan agar seseorang itu boleh sujud kepada seseorang lain, nescaya aku akan memerintahkan perempuan sujud kepada suaminya." (HR al-tarmizi)

Hadis di atas menunjukkan:
1. Larangan bersujud kepada selain dari Allah, kerana tiada arahan berbuat demikian.
2. Suami wajib ditaati dan dipatuhi oleh si isteri.

Ahli taFsir mengatakan ada bebepa kemungkinan di dalam masalah sujud malaikat kepada Adam:
1. Malaikat benar-benar sujud kepada Adam dengan meletakkan dahinya ke tanah. Bukan sebagai penyembahan tetapi sebagai penghormatan serta melaksanakan perintah Allah.
2. Boleh jadi juga para malaikat itu pada hakikatnya bersujud kepada Allah, tetapi dengan menjadikan Adam sebagai kiblatnya. Ini sebagaimana kita diperintahkan bersujud kepada Allah dengan menjadikan ka'bah sebagai arah kiblah kita.
3. Ada juga yang mengatakan bahawa sujud malaikat kepada Adam bukanlah sujud dalam ertikata bersujud yang sebenarnya. Tetapi ia berbentuk sujud maknawi, iaitu dengan berikrar dan mengiktiraf kelebihan Adam.

Perlakuan sujud kerana menghormati (bukan penyembahan/ ibadah) memang berlaku pada umat zaman dahulu. Termasuk pada zaman Ya'qub dan Yusof, firman Allah Taala menceritakan mengenai Yusof a.s.:

"Dan ia dudukkan kedua ibu bapanya (bersama-samanya) di atas kerusi kebesaran. Dan setelah itu mereka semuanya tunduk memberi hormat kepada Yusuf"(Yusof:100)

Tradisi bersujud kerana hormat ini berlaku hinggalah berakhir pada zaman Rasulullah s.a.w. Umat Muhamad di larang bersujud kepada selain dari Allah.

Ketika para sahabat melihat pokok dan unta bersujud kepada Rasulullah s.a.w., mereka berkata: "Kami adalah lebih patut bersujud kepadamu."Rasulullah s.a.w. bersabda: "Tidak sepatutnya seseorang itu bersujud kepada selain dari Allah Tuhan seru sekelian alam."

Perkara ini juga pernah terjadi kepada Mu'az bin Jabal yang baru sampai dari Syam, lalu bersujud kepada Rasulullah s.a.w. Baginda bersabda: "Apa ini"? Mu'az menjawab: "Wahai Rasulullah s.a.w., aku baru datang dari Syam, aku pernah melihat mereka (penduduk Syam) bersujud kepada pembesar dan pendeta mereka. Aku ingin melakukan itu terhadapmu." Baginda bersabda: " Jangan lakukan. Jika aku diperintahkan sesuatu itu boleh bersujud kepada sesuatu, nescaya aku akan memerintahkan agar wanita bersujud kepada suaminyaa£?|.al-hadis." (HR Ibnu Majah)

Oleh itu, bersujud kepada selain dari Allah adalah haram hukumnya. Tidak kira samada sujud itu kerana penyembahan atau hanya semata-mata penghormatan.

Rumusan
1. Berjabat tangan adalah sunat.
2. Mencium tangan adalah dianjurkan kepada mereka yang dimuliakan dari segi keagamaan. Dimakruhkan jika kemuliaan itu dari segi keduniaan.
3. Membongkokkan badan kerana menghormati seseorang adalah makruh.
4. Bersujud kepada selain dari Allah adalah haram.
5. Apabila kita berjabat tangan dengan ibu atau bapa kita, kita terpaksa membongkokkan badan kerana mahu mencium tangannya. Kita membongkokkan badan bukan atas tujuan menghormatinya. Hal ini dibolehkan, cuma tidak boleh berlebih-lebihan.

Wallahu a'lam...

Rujukan
1. Al-Quran
2. Tafsir al-Qurthubi
3. Sahih Bukhari
4. Al-Azkar
5. Ahsanul Kalam


http://narcisma.blogspot.com